SANTAI BINA MINDA

Santai dan riadhah penghuni rumah PEKITA

LAWATAN SEGARI ENERGY VENTURES

Terima kasih daun keladi ... Moga Allah memberkati tuan-puan yang menghulur bakti.

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

... rutin hidup penghuni ...

SELAYANG PANDANG TENTANG BERBAKTI KEPADA IBUBAPA DAN ORANG TUA



بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد للهَ والصلاة والسلام على رسول الله وعلى أله وصحبه ومن والاه



Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadith yang berbunyi:

 رغم أنفه من أدرك والديه عند الكبر أحدهما أو كليهما فلم يدخل الجنة 

Maksudnya: “Kehinaan bagi sesiapa yang memiliki kedua ibu bapa yang tua salah seorang atau kedua-duanya, sedangkan dia tidak dapat memasuki syurga.”
Al-Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith ini  dengan katanya:

“Hadith ini berupa galakan agar berbuat baik kepada ibu bapa dengan janji pahala yang besar. Orang beriman diperintahkan berbuat baik kepada ibu bapa ketika kedua-duanya telah tua dan lemah dengan cara  berkhidmat dan memberi nafkah. Ia akan menjadi sebab untuk dapat memasuki syurga. Sesiapa yang tidak berbuat baik kepada ibu bapa maka dia tidak akan dapat memasuki syurga bahkan Allah menghinakannya.”

Demikianlah besarnya kedudukan berbuat baik kepada ibu bapa sehingga ia menjadi sebab beroleh syurga ataupun neraka.

Di dalam al-Adab al-Mufrad, al-Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.A. yang didatangi seorang lelaki dan bertanya kepadanya:

 إنِّي خَطَبْتُ امرَأةً فَأبَتْ أن تَنْكِحَنِيْ, وَخَطَبَهَا غَيْرِيْ فَأحَبَّتْ أن تَنْكِحَهُ, فَغِرتُ عَلَيْهَا فَقَتَلْتُهَا, فَهَلْ لِي مِنْ تَوْبَةٍ؟ قال: أُمُّكَ حَيَّةُ؟ قال: لَا, قال: تُبْ إلى اللهِ عَزَّوَجَلّ, وَتَقَرَّبْ إلَيْهِ مَا اسْتَطَعْتَ. قال عطاء من يسار: فَذَهَبْتُ فَسَألْتُ ابنَ عَباسٍ: لمِاَ سَألْتَهُ عَن حَيَاةِ أمِّهِ؟ فقال: إنِّيْ لَا أعْلَمُ عَمَلاً أقْرَبُ إلى اللهِ عَزَّوَجَلَّ مِنْ بِرِّ الْوَالِدَةْ. 

Maksudnya: “Aku telah meminang seorang wanita, tetapi dia tidak menerima pinanganku. Kemudian wanita itu menerima pinangan lelaki lain, maka timbul perasaan cemburu dalam hatiku terhadap wanita itu lalu aku membunuhnya. Apakah aku berpeluang untuk diterima taubatku? Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibumu masih hidup?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Maka berkata Ibn ‘Abbas: “Bertaubatlah kepada Allah 'Azza wa Jalla dan hampirkanlah dirimu kepadaNya sedaya mungkin.” (Kemudian) ‘Atho bin Yasar berkata: “Aku pergi bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa anda bertanya kepada lelaki itu apakah ibunya masih hidup?” Jawab Ibn ‘Abbas: “Sesungguhnya aku tidak mengetahui adanya satu amalan yang lebih hampir kepada Allah 'Azza wa Jalla lebih daripada berbuat baik kepada ibu.”

Hadith ini menunjukkan bahawa berbuat baik kepada ibu dapat menghapuskan kesalahan (dosa) yang telah  dilakukan. Ibn ‘Abbas r.a. bertanyakan keadaan ibu kepada lelaki tersebut dengan maksud jika ibunya masih hidup maka dapatla dia berbuat baik kepada ibunya sehingga dapatlah dia menghapuskan kesalahan dan dosanya.  Dari Abu Hurairah R.A. Nabi S.A.W. bersabda:

 لاَ يَجْزِي وَلَدُ وَالِدَهُ إلا أنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ 

Maksudnya: “Seorang anak tidak dikira dapat membalas kebaikan bapanya, melainkan jika dia mendapati bapanya menjadi hamba (kepada seseorang), kemudian dia membelinya dan memerdekakan bapanya itu.” 
Begitulah gambaran betapa besarnya nilai pengorbanan seorang bapa kepada anaknya, sehingga seorang anak itu tidak akan dapat membalas kebaikan bapanya melainkan jika dia berjaya membebaskan bapanya dari menjadi seorang hamba.

Al-Sindiy di dalam Syarh Sunan Ibn Majah berkata tentang hadith ini:

“Ini kerana hamba itu umpama seorang yang binasa, maka seolah-olah dengan pembebasan itu, anaknya mengeluarkan bapanya daripada kebinasaan kepada penghidupan, maka jadilah perbuatan si anak itu menyamai perbuatan si bapa yang menjadi sebab kewujudannya daripada tiada kepada ada.” Abdullah bin ‘Amr pula meriwayatkan:

  جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم يبايعه على الهجرة وترك أبويه يبكيان فقال: ارجع إليهما وأضحكهما كما أبكيتهما 

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi S.A.W. untuk berbaiah bagi maksud berhijrah. Dia meninggalkan ibubapanya dalam keadaan mereka berdua menangis, lalu Nabi S.A.W. bersabda: “Pulanglah kepada mereka berdua, dan ketawakanlah mereka semula sebagaimana kamu telah menjadikan mereka menangis.”  Daripada Abdullah bin ‘Amr juga katanya:

 جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم يريد الجهاد فقال: أحي والداك؟ قال: نعم, فقال: ففيهما فجاهِد: 

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi S.A.W.  hendak menyertai jihad lalu baginda bersabda: “Apakah dua ibubapamu masih hidup? Jawab lelaki itu: “Ya”. Sabda Nabi S.A.W.: Terhadap mereka berdua laksanakanlah jihad (untuk mendapat keredhaan mereka berdua).” 

Hukum Berbuat Baik Kepada Ibu-Bapa  

Di dalam al-Quran Allah S.W.T. berfirman:

  ووصينا الإنسان بوالديه حسنا وإن جاهداك لتشرك بي ما ليس لك به علم فلا تطعهما 

Maksudnya: “Dan Kami telah mengarahkan (mewajibkan) manusia (berbuat) kebaikan kepada ibubapanya. Jika mereka berdua bersungguh-sungguh mengusahakan engkau agar mensyirikkan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak ada pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau mengikuti kedua-duanya.” (al-’Ankabut’).

Dalam ayat ini, Allah S.W.T. menyuruh manusia berbuat baik kepada ibubapa sebagai susulan selepas arahan mentauhidkanNya. Perkara yang sama turut diulang penegasannya di dalam surah al-Baqarah, Luqman dan al-Nisa. Al-Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata:

“... ayat-ayat ini menunjukkan tuntutan yang bersangatan bagi kewajipan melakukan kebaikan kepada ibubapa.”

Di dalam surah Luqman Allah berfirman:

  وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا 

Maksudnya:  “Dan jika kedua ibubapamu memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak ada pengetahuan tentangnya, maka janganlah kamu mengikut keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik…” (Luqman: 15)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa berbuat baik kepada kedua ibubapa itu tetap merupakan kewajipan walaupun mereka berdua tidak beragama Islam dan mereka berusaha bersungguhnya-sungguh hendak memurtadkan anaknya. Dalam keadaan sedemikian, seorang anak hanya diminta untuk tidak mentaati mereka dalam perkara syirik, namun ia tetap juga wajib menggauli mereka dengan baik. Jika demikian keadaannya, sudah semestinya berbuat baik kepada ibubapa yang muslim lebih utama walaupun mereka berada dalam serba kekurangan dari segi agama dan dunianya. Para ulama turut menekankan berbuat baik kepada kedua ibubapa ini merupakan kewajipan yang sangat-sangat dituntut.